بسم الله الرحمن الرحيم
Beliau adalah Syeikh
al-Islam al-Imam Muhammad bin `Abdul Wahab bin Sulaiman bin Ali bin
Muhammad bin Ahmad bin Rasyid bin Barid bin Muhammad bin al-Masyarif
at-Tamimi al-Hambali an-Najdi.
Tempat dan Tarikh Lahirnya
Syeikh Muhammad bin `Abdul Wahab dilahirkan pada
tahun 1115 H (1701 M) di kampung `Uyainah (Najd), lebih kurang 70 km
arah barat laut kota Riyadh, ibukota Arab Saudi sekarang.
Beliau meninggal dunia pada 29 Syawal 1206 H (1793 M)
dalam usia 92 tahun, setelah mengabdikan diri selama lebih 46 tahun
dalam memangku jawatan sebagai menteri penerangan Kerajaan Arab Saudi .
Pendidikan dan Pengalamannya
Syeikh Muhammad bin `Abdul Wahab berkembang dan
dibesarkan dalam kalangan keluarga terpelajar. Ayahnya adalah ketua
jabatan agama setempat. Sedangkan kakeknya adalah seorang qadhi (mufti
besar), tempat di mana masyarakat Najd menanyakan segala sesuatu masalah
yang bersangkutan dengan agama. Oleh karena itu, kita tidaklah hairan
apabila kelak beliau juga menjadi seorang ulama besar seperti datuknya.
Sebagaimana lazimnya keluarga ulama, maka Syeikh
Muhammad bin `Abdul Wahab sejak masih kanak-kanak telah dididik dan
ditempa jiwanya dengan pendidikan agama, yang diajar sendiri oleh
ayahnya, Syeikh `Abdul Wahhab.
Sejak kecil lagi Syeikh Muhammad bin `Abdul Wahab
sudah kelihatan tanda-tanda kecerdasannya. Beliau tidak suka membuang
masa dengan sia-sia seperti kebiasaan tingkah laku kebanyakan
kanak-kanak lain yang sebaya dengannya.
Berkat bimbingan kedua ibu-bapaknya, ditambah dengan
kecerdasan otak dan kerajinannya, Syeikh Muhammad bin `Abdul Wahab telah
berjaya menghafal al-Qur’an 30 juz sebelum berusia sepuluh tahun.
Setelah beliau belajar pada orantuanya tentang
beberapa bidang pengajian dasar yang meliputi bahasa dan agama, beliau
diserahkan oleh ibu-bapaknya kepada para ulama setempat sebelum dikirim
oleh ibu-bapaknya ke luar daerah.
Tentang ketajaman fikirannya, saudaranya Sulaiman bin `Abdul Wahab pernah menceritakan begini:
“Bahwa ayah mereka, Syeikh `Abdul Wahab merasa sangat
kagum atas kecerdasan Muhammad, padahal ia masih di bawah umur. Beliau
berkata: `Sungguh aku telah banyak mengambil manfaat dari ilmu
pengetahuan anakku Muhammad, terutama di bidang ilmu Fiqh.’ “
Syeikh Muhammad mempunyai daya kecerdasan dan ingatan
yang kuat, sehingga apa saja yang dipelajarinya dapat difahaminya
dengan cepat sekali, kemudian apa yang telah dihafalnya tidak mudah pula
hilang dalam ingatannya. Demikianlah keadaannya, sehingga kawan-kawan
sepermainannya kagum dan heran kepadanya.
Belajar di Makkah, Madinah dan Basrah
Setelah mencapai usia dewasa, Syeikh Muhammad bin
`Abdul Wahab diajak oleh ayahnya untuk bersama-sama pergi ke tanah suci
Mekah untuk menunaikan rukun Islam yang kelima – mengerjakan haji di
Baitullah. Dan manakala telah selesai menunaikan ibadah haji, ayahnya
terus kembali ke kampung halamannya. Adapun Muhammad, ia tidak pulang,
tetapi terus tinggal di Mekah selama beberapa waktu, kemudian berpindah
pula ke Madinah untuk melanjutkan pengajiannya di sana.
Di Madinah, beliau berguru pada dua orang ulama besar
dan termasyhur di waktu itu. Kedua-dua ulama tersebut sangat berjasa
dalam membentuk pemikirannya, yaitu Syeikh Abdullah bin Ibrahim bin Saif
an-Najdi dan Syeikh Muhammad Hayah al-Sindi.
Selama berada di Madinah, beliau sangat prihatin
menyaksikan ramai umat Islam setempat maupun penziarah dari luar kota
Madinah yang telah melakukan perbuatan- perbuatan tidak kesyirikan dan
tidak sepatutnya dilakukan oleh orang yang mengaku dirinya Muslim.
Beliau melihat ramai umat yang berziarah ke maqam
Nabi mahupun ke maqam-maqam lainnya untuk memohon syafaat, bahkan
meminta sesuatu hajat pada kuburan mahupun penghuninya, yang mana hal
ini sama sekali tidak dibenarkan oleh agama Islam. Apa yang
disaksikannya itu menurut Syeikh Muhammad adalah sangat bertentangan
dengan ajaran Islam yang sebenarnya.
Kesemua inilah yang semakin mendorong Syeikh Muhammad
untuk lebih mendalami pengkajiannya tentang ilmu ketauhidan yang murni,
yakni Aqidah Salafiyah. Bersamaan dengan itu beliau berjanji pada
dirinya sendiri, bahwa pada suatu ketika nanti, beliau akan mengadakan
perbaikan (Islah) dan pembaharuan (Tajdid) dalam masalah yang berkaitan
dengan ketauhidan, yaitu mengembalikan aqidah umat kepada
sebersih-bersihnya tauhid yang jauh dari khurafat, tahyul dan bid’ah.
Untuk itu, beliau mesti mendalami benar- benar tentang aqidah ini
melalui kitab-kitab hasil karya ulama-ulama besar di abad-abad yang
silam.
Di antara karya-karya ulama terdahulu yang paling
terkesan dalam jiwanya adalah karya-karya Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyah.
Beliau adalah mujaddid besar abad ke 7 Hijriyah yang sangat terkenal.
Demikianlah meresapnya pengaruh dan gaya Ibnu
Taimiyah dalam jiwanya, sehingga Syeikh Muhammad bin `Abdul Wahab
bagaikan duplikat(salinan) Ibnu Taimiyah. Khususnya dalam aspek
ketauhidan, seakan-akan semua yang diidam-idamkan oleh Ibnu Taimiyah
semasa hidupnya yang penuh ranjau dan tekanan dari pihak berkuasa,
semuanya telah ditebus dengan kejayaan Ibnu `Abdul Wahab yang hidup pada
abad ke 12 Hijriyah itu.
Setelah beberapa lama menetap di Mekah dan Madinah,
kemudian beliau berpindah ke Basrah. Di sini beliau bermukim lebih lama,
sehingga banyak ilmu-ilmu yang diperolehinya, terutaman di bidang
hadith danmusthalahnya, fiqh dan usul fiqhnya, gramatika (ilmu qawa’id)
dan tidak ketinggalan pula lughatnya semua.
Lengkaplah sudah ilmu yang diperlukan oleh seorang
yang pintar yang kemudian dikembangkan sendiri melalui metode otodidak
(belajar sendiri) sebagaimana lazimnya para ulama besar Islam
mengembangkan ilmu-ilmunya. Di mana bimbingan guru hanyalah sebagai
modal dasar yang selanjutnya untuk dapat dikembangkan dan digali sendiri
oleh yang bersangkutan.
Mulai Berdakwah
Syeikh Muhammad bin `Abdul Wahab memulai dakwahnya di
Basrah, tempat di mana beliau bermukim untuk menuntut ilmu ketika itu.
Akan tetapi dakwahnya di sana kurang bersinar, karena menemui banyak
rintangan dan halangan dari kalangan para ulama setempat.
Di antara pendukung dakwahnya di kota Basrah ialah
seorang ulama yang bernama Syeikh Muhammad al-Majmu’i. Tetapi Syeikh
Muhammad bin `Abdul Wahab bersama pendukungnya mendapat tekanan dan
ancaman dari sebagian ulama yang sesat, yaitu ulama jahat yang memusuhi
dakwahnya di sana; keduanya diancam akan dibunuh. Akhirnya beliau
meninggalkan Basrah dan mengembara ke beberapa negeri Islam untuk
menyebarkan ilmu dan pengalamannya.
Di samping mempelajari keadaan negeri-negeri Islam
tetangga, demi kepentingan dakwahnya di masa akan datang, dan setelah
menjelajahi beberapa negeri Islam, beliau lalu kembali ke al-Ihsa
menemui gurunya Syeikh Abdullah bin `Abd Latif al-Ihsai untuk mendalami
beberapa bidang pengajian tertentu yang selama ini belum sempat
didalaminya.
Di sana beliau bermukim untuk beberapa waktu, dan
kemudian beliau kembali ke kampung asalnya ‘Uyainah, tetapi tidak lama
kemudian beliau menyusul orang tuanya yang merupakan bekas ketua jabatan
urusan agama ‘Uyainah ke Haryamla, yaitu suatu tempat di daerah Uyainah
juga.
Adalah dikatakan bahwa di antara orang tua Syeikh
Muhammad dan pihak berkuasa Uyainah berlaku perselisihan pendapat, yang
oleh karena itulah orang tua Syeikh Muhammad terpaksa berhijrah ke
Haryamla pada tahun 1139 H.
Setelah perpindahan ayahnya ke Haryamla kira-kira
setahun, barulah Syeikh Muhammad menyusulnya pada tahun 1140 H.
Kemudian, beliau bersama ayahnya itu mengembang kan ilmu dan mengajar
serta berdakwah selama lebih kurang 13 tahun lamanya, sehingga ayahnya
meninggal dunia di sana pada tahun 1153.
Setelah tiga belas tahun menegakkan amar ma’ruf dan
nahi mungkar di Haryamla, beliau mengajak pihak Penguasa setempat untuk
bertindak tegas terhadap gerombolan penjahat yang selalu melakukan
kerusuhan, merampas, merampok serta melakukan pembunuhan. Maka
gerombolan tersebut tidak senang kepada Syeikh Muhammad, lalu mereka
mengancam hendak membunuhnya. Syeikh Muhammad terpaksa meninggalkan
Haryamla, berhijrah ke Uyainah tempat ayahnya dan beliau sendiri
dilahirkan.
Keadaan Negeri Nejed, Hijaz dan Sekitarnya
Keadaan negeri Najd, Hijaz dan sekitarnya semasa awal
pergerakan tauhid amatlah buruknya. Krisis Aqidah dan akhlak serta
merosotnya tata nilai sosial, ekonomi dan politik sudah mencapai titik
kulminasi. Semua itu adalah akibat penjajahan bangsa Turki yang
berpanjangan terhadap bangsa dan Jazirah Arab, di mana tanah Najd dan
Hijaz adalah termasuk jajahannya, di bawah penguasaan Sultan Muhammad
Ali Pasya yang dilantik oleh Khalifah di Turki (Istanbul) sebagai
Gubenur Jenderal untuk daerah koloni di kawasan Timur Tengah, yang
berkedudukan di Mesir.
Pemerintahan Turki Raya pada waktu itu mempunyai
daerah kekuasaan yang cukup luas. Pemerintahannya berpusat di Istanbul
(Turki), yang begitu jauh dari daerah jajahannya. Kekuasaan dan
pengendalian khalifah mahupun sultan-sultannya untuk daerah yang jauh
dari pusat, sudah mulai lemah dan kendur disebabkan oleh kekacauan di
dalam negeri dan kelemahan di pihak khalifah dan para sultannya.
Disamping itu, adanya cita-cita dari amir-amir di
negeri Arab untuk melepaskan diri dari kekuasaan pemerintah pusat yang
berkedudukan di Turki. Ditambah lagi dengan hasutan dari bangsa Barat,
terutama penjajah tua yaitu Inggris dan Perancis yang menghasut bangsa
Arab dan umat Islam supaya berjuang merebut kemerdekaan dari bangsa
Turki, hal mana sebenarnya hanyalah tipudaya untuk memudahkan kaum
penjajah tersebut menanamkan pengaruhnya di kawasan itu, kemudian
mencengkeramkan kuku penjajahan nya di dalam segala lapangan, seperti
politik, ekonomi, kebudayaan dan aqidah.
Kemerosotan dari sektor agama, terutama yang
menyangkut aqidah sudah begitu memuncak. Kebudayaan jahiliyah dahulu
seperti taqarrub (mendekatkan diri) pada kuburan (maqam) keramat,
memohon syafaat dan meminta berkat serta meminta diampuni dosa dan
disampaikan hajat, sudah menjadi ibadah mereka yang paling utama sekali,
sedangkan ibadah-ibadah menurut syariat yang sebenarnya pula dijadikan
perkara kedua. Di mana ada maqam wali, orang-orang soleh, penuh
dibanjiri oleh penziarah- penziarah untuk meminta sesuatu hajat
keperluannya. Seperti misalnya pada maqam Syeikh Abdul Qadir Jailani,
dan maqam-maqam wali lainnya. Hal ini terjadi bukan hanya di tanah Arab
saja, tetapi juga di mana-mana, di seluruh pelosok dunia sehingga
suasana di negeri Islam waktu itu seolah-olah sudah berbalik menjadi
jahiliyah seperti pada waktu pra Islam menjelang kebangkitan Nabi
Muhammad SAW.
Masyarakat Muslim lebih banyak berziarah ke kuburan
atau maqam-maqam keramat dengan segala macam munajat dan tawasul, serta
pelbagai doa dialamatkan kepada maqam dan mayat didalamnya, dibandingkan
dengan mereka yang datang ke masjid untuk solat dan munajat kepada
Allah SWT. Demikianlah kebodohan umat Islam hampir merata di seluruh
negeri, sehingga di mana-mana maqam yang dianggap keramat, maqam itu
dibina bagaikan bangunan masjid, malah lebih mewah daripada masjid,
karena dengan mudah saja dana mengalir dari mana-mana, terutama biaya
yang diperolehi dari setiap pengunjung yang berziarah ke sana, atau
memang adanya tajaan dari orang yang membiayainya di belakang tabir,
dengan maksud-maksud tertentu. Seperti dari imperalis Inggris yang
berdiri di belakang tabir maqam Syeikh Abdul Qadir Jailani di India
misalnya.
Di tengah-tengah keadaan yang sedemikian rupa, maka
Allah melahirkan seorang Mujadid besar (Pembaharu Besar) Syeikh Muhammad
bin `Abdul Wahab (al-Wahabi) dari `Uyainah (Najd) sebagai mujaddid
Islam terbesar abad ke 12 Hijriyah, setelah Ibnu Taimiyah, mujaddid abad
ke 7 Hijriyah yang sangat terkenal itu.
Bidang pentajdidan kedua mujaddid besar ini adalah
sama, yaitu mengadakan pentajdidan dalam aspek aqidah, walau masanya
berbeda, yaitu kedua-duanya tampil untuk memperbaharui agama Islam yang
sudah mulai tercemar dengan bid’ah, khurafat dan tahyul yang sedang
melanda Islam dan kaum Muslimin. Menghadapi hal ini Syeikh Muhammad bin
`Abdul Wahab telah menyusun barisan Ahli Tauhid (Muwahhidin) yang
berpegang kepada pemurnian tauhid. Bagi para lawannya, pergerakan ini
mereka sebut Wahabiyin yaitu gerakan Wahabiyah.
Dalam pergerakan tersebut tidak sedikit rintangan dan
halangan yang dilalui. Kadangkala Syeikh terpaksa melakukan tindakan
kekerasan apabila tidak boleh dengan cara yang lembut. Tujuannya tidak
lain melainkan untuk mengembalikan Islam kepada kedudukannya yang
sebenarnya, yaitu dengan memurnikan kembali aqidah umat Islam seperti
yang diajarkan oleh Kitab Allah dan Sunnah RasulNya.
Setelah perjuangan yang tidak mengenal lelah itu, akhirnya niat yang ikhlas itu diterima oleh Allah, sesuai dengan firmanNya: “Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong Allah nescaya Allah akan menolongmu dan menetapkan pendirianmu.” (Muhammad:7)
Awal Pergerakan Tauhid
Muhammad bin `Abdul Wahab memulakan pergerakan di
kampungnya sendiri yaitu Uyainah. Di waktu itu Uyainah diperintah oleh
seorang amir (penguasa) bernama Amir Uthman bin Mu’ammar. Amir Uthman
menyambut baik idea dan gagasan Syeikh Muhammad itu dengan sangat
gembira, dan beliau berjanji akan menolong perjuangan tersebut sehingga
mencapai kejayaan.
Selama Syeikh melancarkan dakwahnya di Uyainah,
masyarakat negeri itu semua lelaki dan wanita merasakan kembali
kedamaian luar biasa, yang selama ini belum pernah mereka rasakan.
Dakwah Syeikh bergema di negeri mereka. Ukhuwah Islamiyah dan
persaudaraan Islam telah tumbuh kembali berkat dakwahnya di seluruh
pelusuk Uyainah dan sekitarnya. Orang-orang dari jauh pun mula mengalir
berhijrah ke Uyainah, karena mereka menginginkan keamanan dan
ketenteraman jiwa di negeri ini.
Syahdan; pada suatu hari, Syeikh Muhammad bin `Abdul
Wahab meminta izin pada Amir Uthman untuk menghancurkan sebuah bangunan
yang dibina di atas maqam Zaid bin al-Khattab. Zaid bin al-Khattab
adalah saudara kandung Umar bin al-Khattab, Khalifah Rasulullah yang
kedua. Syeikh Muhammad mengemukakan alasannya kepada Amir, bahwa menurut
hadith Rasulullah SAW, membina sesebuah bangunan di atas kubur adalah
dilarang, karena yang demikian itu akan menjurus kepada kemusyrikan.
Amir menjawab: “Silakan… tidak ada seorang pun yang boleh menghalang
rancangan yang mulia ini.”
Tetapi Syeikh mengajukan pendapat bahwa beliau
khuatir masalah itu kelak akan dihalang-halangi oleh ahli jahiliyah(kaum
Badwi) yang tinggal berdekatan maqam tersebut. Lalu Amir menyediakan
600 orang tentara untuk tujuan tersebut bersama- sama Syeikh Muhammad
merobohkan maqam yang dikeramatkan itu.
Sebenarnya apa yang mereka sebut sebagai maqam Zaid
bin al-Khattab r.a yang gugur sebagai syuhada’ Yamamah ketika
menumpaskan gerakan Nabi Palsu (Musailamah al-Kazzab) di negeri Yamamah
suatu waktu dulu, hanyalah berdasarkan prasangka belaka. Karena di sana
terdapat puluhan syuhada’ (pahlawan) Yamamah yang dikebumi kan tanpa
jelas lagi pengenalan mereka.
Bisa saja yang mereka anggap maqam Zaid bin
al-Khattab itu adalah maqam orang lain. Tetapi oleh karena masyarakat
setempat di situ telah terlanjur beranggapan bahwa itulah maqam beliau,
mereka pun mengkeramatkannya dan membina sebuah masjid di tempat itu,
yang kemudian dihancurkan pula oleh Syeikh Muhammad bin `Abdul Wahab
atas bantuan Amir Uyainah, Uthman bin Mu’ammar.
Syeikh Muhammad tidak berhenti sampai disitu, akan
tetapi semua maqam-maqam yang dipandang berbahaya bagi aqidah
ketauhidan, yang dibina seperti masjid yang pada ketika itu berselerak
di seluruh wilayah Uyainah turut diratakan semuanya. Hal ini adalah
untuk mencegah agar jangan sampai dijadikan objek peribadatan oleh
masyarakat Islam setempat yang sudah mulai nyata kejahiliahan dalam diri
mereka. Dan berkat rahmat Allah, maka pusat-pusat kemusyrikan di negeri
Uyainah dewasa itu telah terkikis habis sama sekali.
Setelah selesai dari masalah tauhid, maka Syeikh
mulai menerangkan dan mengajarkan hukum-hukum syariat yang sudah
berabad-abad hanya termaktub saja dalam buku-buku fiqh, tetapi tidak
pernah diterapkan sebagai hukum yang diamalkan. Maka yang
dilaksanakannya mula-mula sekali ialah hukum rajam bagi penzina.
Pada suatu hari datanglah seorang wanita yang mengaku
dirinya berzina ke hadapan Syeikh Muhammad bin `Abdul Wahab, dia
meminta agar dirinya dijatui hukuman yang sesuai dengan hukum Allah dan
RasulNya. Meskipun Syeikh mengharapkan agar wanita itu menarik balik
pengakuannya itu, supaya ia tidak terkena hukum rajam, namun wanita
tersebut tetap bertahan dengan pengakuannya tadi, ia ingin menjalani
hukum rajam. Maka, terpaksalah Syeikh menjatuhkan kepadanya hukuman
rajam atas dasar pengakuan wanita tersebut.
Berita tentang kejayaan Syeikh dalam memurnikan
masyarakat Uyainah dan penerapan hukum rajam kepada orang yang berzina,
sudah tersebar luas di kalangan masyarakat Uyainah mahupun di luar
Uyainah.
Masyarakat Uyainah dan sekelilingnya menilai gerakan
Syeikh Ibnu `Abdul Wahab ini sebagai suatu perkara yang mendatangkan
kebaikan. Namun, beberapa kalangan tertentu menilai pergerakan Syeikh
Muhammad itu sebagai suatu perkara yang negatif dan membahayakan
kedudukan mereka. Memang, hal ini sama keadaannya dimanapun di saat
tersebut, bahkan pergerakan pembaharuan tersebut dipandang rawan bagi
penentangnya. Hal tersebut seperti halnya untuk mengislamkan masyarakat
Islam yang sudah kembali ke jahiliyah ini, yaitu, dengan cara
mengembalikan mereka kepada Aqidah Salafiyah seperti di zaman Nabi, para
Sahabat dan para Tabi’in dahulu.
Di antara yang menentangnya dakwah tersebut adalah Amir (pihak
berkuasa) wilayah al-Ihsa’ (suku Badwi) dengan para pengikut-pengikutnya
dari Bani Khalid Sulaiman bin Ari’ar al-Khalidi. Mereka adalah suku
Badui yang terkenal berhati keras, suka merampas, merampok dan membunuh.
Pihak berkuasa al-Ihsa’ khuatir kalau pergerakan Syeikh Muhammad tidak
dipatahkan secepat mungkin, sudah pasti wilayah kekuasaannya nanti akan
direbut oleh pergerakan tersebut. Padahal Amir ini sangat takut
dijatuhkan hukum Islam seperti yang telah diperlakukan di negeri
Uyainah. Dan tentunya yang lebih ditakutinya lagi ialah kehilangan
kedudukannya sebagai Amir (ketua) suku Badui.
Maka Amir Badui ini menulis sepucuk surat kepada Amir
Uyainah yang isinya mengancam pihak berkuasa Uyainah. Adapun isi
ancaman tersebut ialah: “Apabila Amir Uthman tetap membiarkan dan
mengizinkan Syeikh Muhammad terus berdakwah dan bertempat tinggal di
wilayahnya, serta tidak mau membunuh Syeikh Muhammad, maka semua pajak
dan upeti wilayah Badui yang selama ini dibayar kepada Amir Uthman akan
diputuskan (ketika itu wilayah Badwi tunduk dibawah kekuasaan
pemerintahan Uyainah).” Jadi, Amir Uthman dipaksa untuk memilih dua
pilihan, membunuh Syeikh atau suku Badui itu menghentikan pembayaran
upeti.
Ancaman ini amat mempengaruhi pikiran Amir Uthman,
karena upeti dari wilayah Badui sangat besar artinya baginya. Adapun
upeti tersebut adalah terdiri dari emas murni.
Didesak oleh tuntutan tersebut, terpaksalah Amir
Uyainah memanggil Syeikh Muhammad untuk diajak berunding bagaimanakah
mencari jalan keluar dari ancaman tersebut. Soalnya, dari pihak Amir
Uthman tidak pernah sedikit pun terfikir untuk mengusir Syeikh Muhammad
dari Uyainah, apalagi untuk membunuhnya. Tetapi, sebaliknya dari
pihaknya juga tidak terdaya menangkis serangan pihak suku Badui itu.
Maka, Amir Uthman meminta kepada Syeikh Muhammad
supaya dalam hal ini demi keselamatan bersama dan untuk menghindari dari
terjadinya pertumpahan darah, sebaiknya Syeikh bersedia mengalah untuk
meninggalkan negeri Uyainah. Syeikh Muhammad menjawab seperti berikut:
“Wahai Amir! Sebenarnya apa yang aku sampaikan dari dakwahku, tidak lain
adalah DINULLAH (agama Allah), dalam rangka melaksanakan kandungan LA
ILAHA ILLALLAH – Tiada Tuhan melainkan Allah, Muhammad Rasulullah.
Maka barangsiapa berpegang teguh pada agama dan
membantu pengembangannya dengan ikhlas dan yakin, pasti Allah akan
mengulurkan bantuan dan pertolonganNya kepada orang itu, dan Allah akan
membantunya untuk dapat menguasai negeri-negeri musuhnya. Saya berharap
kepada anda Amir supaya bersabar dan tetap berpegang terhadap pegangan
kita bersama terlebih dahulu, untuk sama-sama berjuang demi tegaknya
kembali Dinullah di negeri ini. Mohon sekali lagi Amir menerima ajakan
ini. Mudah-mudahan Allah akan memberi pertolongan kepada anda dan
menjaga anda dari ancaman Badui itu, begitu juga dengan musuh-musuh anda
yang lainnya. Dan Allah akan memberi kekuatan kepada anda untuk melawan
mereka agar anda dapat mengambil alih daerah Badui untuk sepenuhnya
menjadi daerah Uyainah di bawah kekuasaan anda.”
Setelah bertukar fikiran di antara Syeikh dan Amir
Uthman, tampaknya pihak Amir tetap pada pendiriannya, yaitu mengharapkan
agar Syeikh meninggalkan Uyainah secepat mungkin.
Dalam bukunya yang berjudul Al-Imam Muhammad bin
`Abdul Wahab, Wada’ Watahu Wasiratuhu, Syeikh Muhammad bin `Abdul `Aziz
bin `Abdullah bin Baz, beliau berkata: “Demi menghindari pertumpahan
darah, dan karena tidak ada lagi pilihan lain, di samping beberapa
pertimbangan lainnya maka terpaksalah Syeikh meninggalkan negeri Uyainah
menuju negeri Dar’iyah dengan menempuh perjalanan secara berjalan kaki
seorang diri tanpa ditemani oleh seorangpun. Beliau meninggalkan negeri
Uyainah pada waktu dinihari, dan sampai ke negeri Dar’iyah pada waktu
malam hari.” (Ibnu Baz, Syeikh `Abdul `Aziz bin `Abdullah)
Tetapi ada juga tulisan lainnya yang mengatakan
bahwa: Pada mulanya Syeikh Muhammad mendapat dukungan penuh dari
pemerintah negeri Uyainah Amir Uthman bin Mu’ammar, namun setelah api
pergerakan dinyalakan, pemerintah setempat mengundurkan diri dari
percaturan pergerakan karena alasan politik (besar kemungkinan takut
dipecat dari kedudukannya sebagai Amir Uyainah oleh pihak atasannya).
Dengan demikian, tinggallah Syeikh Muhammad dengan beberapa orang
sahabatnya yang setia untuk meneruskan dakwahnya. Dan beberapa hari
kemudian, Syeikh Muhammad diusir keluar dari negeri itu oleh
pemerintahnya.
Bersamaan dengan itu, pihak berkuasa telah
merencanakan pembunuhan ke atas diri Syeikh di dalam perjalanannya,
namun Allah mempunyai rencana sendiri untuk menyelamatkan Syeikh dari
usaha pembunuhan, wamakaru wamakarallalu wallahu khairul makirin. Mereka
mempunyai rencana dan Allah mempunyai rencanaNya juga, dan Allah
sebaik-baik pembuat rencana. Sehingga Syeikh Muhammad bin `Abdul Wahab
selamat di perjalanannya sampai ke negeri tujuannya, yaitu negeri
Dar’iyah.
Syeikh Muhammad di Dar’iyah
Sesampainya Syeikh Muhammad di sebuah kampung wilayah
Dar’iyah, yang tidak berapa jauh dari tempat kediaman Amir Muhammad bin
Saud (pemerintah negeri Dar’iyah), Syeikh menemui seorang penduduk di
kampung itu, orang tersebut bernama Muhammad bin Sulaim al-`Arini. Bin
Sulaim ini adalah seorang yang dikenal soleh oleh masyarakat setempat.
Syeikh meminta izin untuk tinggal bermalam di rumahnya sebelum ia meneruskan perjalanannya ke tempat lain.
Pada mulanya ia ragu-ragu menerima Syeikh di
rumahnya, karena suasana Dar’iyah dan sekelilingnya pada waktu itu tidak
tenteram, menyebabkan setiap tamu yang datang hendaklah melaporkan diri
kepada pihak berkuasa setempat. Namun, setelah Syeikh memperkenalkan
dirinya serta menjelaskan maksud dan tujuannya datang ke negeri
Dar’iyah, yaitu hendak menyebarkan dakwah Islamiyah dan membenteras
kemusyrikan, barulah Muhammad bin Sulaim ingin menerimanya sebagai tamu
di rumahnya.
Sesuai dengan peraturan yang wujud di Dar’iyah di
kala itu, yang mana setiap tetamu hendaklah melaporkan diri kepada pihak
berkuasa setempat, maka Muhammad bin Sulaim menemui Amir Muhammad untuk
melaporkan tamunya yang baru tiba dari Uyainah dengan menjelaskan
maksud dan tujuannya kepada beliau.
Kononnya, ada riwayat yang mengatakan; bahwa seorang
soleh datang menemui isteri Amir Ibnu Saud, ia berpesan untuk
menyampaikan kepada suaminya, bahwa ada seorang ulama dari Uyainah yang
bernama Muhammad bin `Abdul Wahab hendak menetap di negerinya. Beliau
hendak menyampaikan dakwah Islamiyah dan mengajak masyarakat kepada
sebersih-bersih tauhid. Ia meminta agar isteri Amir Ibnu Saud membujuk
suaminya supaya menerima ulama tersebut agar dapat menjadi warga negeri
Dar’iyah serta mau membantu perjuangannya dalam menegakkan agama Allah.
Isteri Ibnu Saud ini sebenarnya adalah seorang wanita
yang soleh. Maka, tatkala Ibnu Saud mendapat giliran ke rumah isterinya
ini, si isteri menyampaikan semua pesan-pesan itu kepada suaminya.
Selanjutnya ia berkata kepada suaminya:
“Bergembiralah kakanda dengan keuntungan besar ini, keuntungan di mana
Allah telah mengirimkan ke negeri kita seorang ulama, juru dakwah yang
mengajak masyarakat kita kepada agama Allah, berpegang teguh kepada
Kitabullah dan Sunnah RasulNya. Inilah suatu keuntungan yang sangat
besar. Kanda jangan ragu-ragu untuk menerima dan membantu perjuangan
ulama ini, mari sekarang juga kekanda menjemputnya kemari.”
Akhirnya, baginda Ibnu Saud dapat diyakinkan oleh
isterinya yang soleh itu. Namun, baginda bimbang sejenak. Ia berfikir
apakah Syeikh itu dipanggil datang menghadapnya, ataukah dia sendiri
yang harus datang menjemput Syeikh, untuk dibawa ke tempat kediamannya?
Baginda pun meminta pandangan dari beberapa penasihatnya, terutama
isterinya sendiri, tentang bagaimanakah cara yang lebih baik harus
dilakukannya.
Isterinya dan para penasihatnya yang lain sepakat
bahwa sebaik-baiknya dalam hal ini, baginda sendiri yang harus datang
menemui Syeikh Muhammad di rumah Muhammad bin Sulaim. Karena ulama itu
didatangi dan bukan ia yang datang, al-`alim Yuraru wala Yazuru.’` Maka
baginda dengan segala kerendahan hatinya menyetujui nasihat dan isyarat
dari isteri maupun para penasihatnya.
Maka pergilah baginda bersama beberapa orang pentingnya ke rumah Muhammad bin Sulaim, di mana Syeikh Muhammad bermalam.
Sesampainya baginda di rumah Muhammad bin Sulaim; di
sana Syeikh bersama anda punya rumah sudah bersedia menerima kedatangan
Amir Ibnu Saud. Amir Ibnu Saud memberi salam dan keduanya saling
merendahkan diri, saling menghormati.
Amir Ibnu Saud berkata: “Ya Syeikh! Bergembiralah
anda di negeri kami, kami menerima dan menyambut kedatangan anda di
negeri ini dengan penuh gembira. Dan kami berikrar untuk menjamin
keselamatan dan keamanan anda Syeikh di negeri ini dalam menyampaikan
dakwahnya kepada masyarakat Dar’iyah. Demi kejayaan dakwah Islamiyah
yang anda Syeikh rencanakan, kami dan seluruh keluarga besar Ibnu Saud
akan mempertaruhkan nyawa dan harta untuk bersama-sama anda Syeikh
berjuang demi meninggikan agama Allah dan menghidupkan sunnah RasulNya
sehingga Allah memenangkan perjuangan ini, Insya Allah!”
Kemudian anda Syeikh menjawab: “Alhamdulillah, anda
juga patut gembira, dan Insya Allah negeri ini akan diberkati Allah SWT.
Kami ingin mengajak umat ini kepada agama Allah. Siapa yang menolong
agama ini, Allah akan menolongnya. Dan siapa yang mendukung agama ini,
nescaya Allah akan mendukungnya. Dan Insya Allah kita akan melihat
kenyataan ini dalam waktu yang tidak begitu lama.”
Demikianlah seorang Amir (penguasa) tunggal negeri
Dar’iyah, yang bukan hanya sekadar membela dakwahnya saja, tetapi juga
sekaligus membela darahnya bagaikan saudara kandung sendiri, yang
berarti di antara Amir dan Syeikh sudah bersumpah setia sehidup- semati,
senasib, dalam menegakkan hukum Allah dan RasulNya di bumi persada
tanah Dar’iyah.
Ternyata apa yang diikrarkan oleh Amir Ibnu Saud itu
benar-benar ditepatinya. Ia bersama Syeikh seiring sejalan, bahu-membahu
dalam menegakkan kalimah Allah, dan berjuang di jalanNya. Sehingga
cita-cita dan perjuangan mereka disampaikan Allah dengan penuh
kemenangan yang gilang-gemilang.
Sejak hijrahnya Tuan Syeikh ke negeri Dar’iyah,
kemudian melancarkan dakwahnya di sana, maka berduyun-duyunlah
masyarakat luar Dar’iyah yang datang dari penjuru Jazirah Arab. Di
antara lain dari Uyainah, Urgah, Manfuhah, Riyadh dan negeri-negeri
jiran yang lain, menuju Dar’iyah untuk menetap dan bertempat tinggal di
negeri hijrah ini, sehingga negeri Dar’iyah penuh sesak dengan kaum
muhajirin dari seluruh pelosok tanah Arab.
Nama Syeikh Muhammad bin `Abdul Wahab dengan ajaran-ajarannya itu
sudah begitu popular di kalangan masyarakat, baik di dalam negeri
Dar’iyah mahupun di luar negerinya, sehingga ramai para penuntut ilmu
datang berbondong-bondong, secara perseorangan maupun secara berombongan
datang ke negeri Dar’iyah.
Maka menetaplah Syeikh di negeri Hijrah ini dengan
penuh kebesaran, kehormatan dan ketenteraman serta mendapat sokongan dan
kecintaan dari semua pihak. Beliau pun mulai membuka madrasah dengan
menggunakan kurikulum yang menjadi teras bagi rencana perjuangan beliau,
yaitu bidang pengajian ‘Aqaid al-Qur’an, tafsir, fiqh, usul fiqh,
hadith, musthalah hadith, gramatika (nahu/saraf)nya serta lain-lain lagi
dari ilmu-ilmu yang bermanfaat.
Dalam waktu yang singkat saja, Dar’iyah telah menjadi
kiblat ilmu dan kota pelajar penuntut Islam. Para penuntut ilmu, tua
dan muda, berduyun-duyun datang ke negeri ini. Di samping pendidikan
formal (madrasah), diadakan juga dakwah, yang bersifat terbuka untuk
semua lapisan masyarakat umum, begitu juga majlis-majlis ta’limnya.
Gema dakwah beliau begitu membahana di seluruh
pelosok Dar’iyah dan negeri-negeri jiran yang lain. Kemudian, Syeikh
mula menegakkan jihad, menulis surat-surat dakwahnya kepada tokoh-tokoh
tertentu untuk bergabung dengan barisan Muwahhidin yang dipimpin oleh
beliau sendiri. Hal ini dalam rangka pergerakan pembaharuan tauhid demi
membasmi syirik, bid’ah dan khurafat di negeri mereka masing-masing.
Untuk langkah awal pergerakan itu, beliau memulai di
negeri Najd. Beliau pun mula mengirimkan surat-suratnya kepada
ulama-ulama dan penguasa-penguasa di sana.
Berdakwah Melalui Surat-menyurat
Syeikh menempuh pelbagai macam dan cara, dalam
menyampaikan dakwahnya, sesuai dengan keadaan masyarakat yang
dihadapinya. Di samping berdakwah melalui lisan, beliau juga tidak
mengabaikan dakwah secara pena dan pada saatnya juga jika perlu beliau
berdakwah dengan besi (pedang).
Maka Syeikh mengirimkan suratnya kepada ulama-ulama
Riyadh dan para umaranya, yang pada ketika itu adalah Dahkan bin Dawwas.
Surat-surat itu dikirimkannya juga kepada para ulama Khariq dan
penguasa-penguasa, begitu juga ulama-ulama negeri Selatan, seperti
al-Qasim, Hail, al-Wasyim, Sudair dan lain-lainnya.
Beliau terus mengirimkan surat-surat dakwahnya itu ke
sleuruh penjuru Arab, baik yang dekat ataupun jauh. Semua surat-surat
itu ditujukan kepada para umara dan ulama, dalam hal ini termasuklah
ulama negeri al-Ihsa’, daerah Badwi dan Haramain (Mekah – Madinah).
Begitu juga kepada ulama-ulama Mesir, Syria, Iraq, Hindia, Yaman dan
lain-lain lagi. Di dalam surat-surat itu, beliau menjelaskan tentang
bahaya syirik yang mengancam negeri-negeri Islam di seluruh dunia, juga
bahaya bid’ah, khurafat dan tahyul.
Bukanlah bererti bahwa ketika itu tidak ada lagi
perhatian para ulama Islam setempat kepada agama ini, sehingga
seolah-olah bagaikan tidak ada lagi yang memperahtikan masalah agama.
Akan tetapi yang sedang kita bicarakan sekarang adalah masalah negeri
Najd dan sekitarnya.
Tentang keadaan negeri Najd, di waktu itu sedang
dilanda serba kemusyrikan, kekacauan, keruntuhan moral, bid’ah dan
khurafat. Kesemuanya itu timbul bukanlah karena tidak adanya para ulama,
malah ulama sangat ramai jumlahnya, tetapi kebanyakan mereka tidak
mampu menghadapi keadaan yang sudah begitu parah. Misalnya, di negeri
Yaman dan lainnya, di mana di sana tidak sedikit para ulamanya yang
aktif melakukan amar ma’ruf nahi mungkar, serta menjelaskan mana yang
bid’ah dan yang sunnah. Namun Allah belum mentaqdirkan kejayaan dakwah
itu dari tangan mereka seperti apa yang Allah taqdirkan kepada Syeikh
Muhammad bin `Abdul Wahab.
Berkat hubungan surat menyurat Syeikh terhadap para
ulama dan umara dalam dan luar negeri, telah menambahkan kemasyhuran
nama Syeikh sehingga beliau disegani di antara kawan dan lawannya,
hingga jangkauan dakwahnya semakin jauh berkumandang di luar negeri, dan
tidak kecil pengaruhnya di kalangan para ulama dan pemikir Islam di
seluruh dunia, seperti di Hindia, Indonesia, Pakistan, Afthanistan,
Afrika Utara, Maghribi, Mesir, Syria, Iraq dan lain-lain lagi.
Memang cukup banyak para da’i dan ulama di
negeri-negeri tersebut tetapi pada waktu itu kebanyakan di antara mereka
yang kehilangan arah, meskipun mereka memiliki ilmu-ilmu yang cukup
memadai.
Begitu semarak dan bergemanya suara dakwah dari Najd
ke negeri-negeri mereka, serentak mereka bangkit sahut-menyahut menerima
ajakan Syeikh Ibnu `Abdul Wahab untuk menumpaskan kemusyrikan dan
memperjuangkan pemurnian tauhid. Semangat mereka timbul kembali bagaikan
pohon yang telah layu, lalu datang hujan lebat menyiramnya sehingga
menjadi hijau dan segar kembali.
Demikianlah banyaknya surat-menyurat di antara Syeikh
dengan para ulama di dalam dan luar Jazirah Arab, sehingga menjadi
dokumen yang amat berharga sekali. Akhir-akhir ini semua tulisan beliau,
yang berupa risalah, maupun kitab-kitabnya, sedang dihimpun untuk
dicetak dan sebagian sudah dicetak dan disebarkan ke seluruh pelosok
dunia Islam, baik melalui Rabithah al-`Alam Islami, maupun terus dari
pihak kerajaan Saudi sendiri ( di masa mendatang). Begitu juga dengan
tulisan-tulisan dari putera-putera dan cucu-cucu beliau serta
tulisan-tulisan para murid-muridnya dan pendukung-pendukungnya yang
telah mewarisi ilmu-ilmu beliau. Di masa kini, tulisan-tulisan beliau
sudah tersebar luas ke seluruh pelosok dunia Islam.
Dengan demikian, jadilah Dar’iyah sebagai pusat
penyebaran dakwah kaum Muwahhidin (gerakan pemurnian tauhid) oleh Syeikh
Muhammad bin `Abdul Wahab yang didukung oleh penguasa Amir Ibnu Saud.
Kemudian murid-murid keluaran Dar’iyah pula menyebarkan ajaran-ajaran
tauhid murni ini ke seluruh pelusuk negeri dengan cara membuka
sekolah-sekolah di daerah-daerah mereka.
Namun, meskipun demikian, perjalanan dakwah ini tidak
sedikit mengalami rintangan dan gangguan yang menghalangi. Tetapi
setiap perjuangan itu tidak mungkin berjaya tanpa adanya pengorbanan.
Sejarah pembaharuan yang digerakkan oleh Syeikh
Muhammad bin `Abdul Wahab ini tercatat dalam sejarah dunia sebagai yang
paling hebat dari jenisnya dan amat cemerlang.
Di samping itu, hal ini merupakan suatu pergerakan
perubahan besar yang banyak memakan korban manusia maupun harta benda.
Karena pergerakan ini mendapat tentangan bukan hanya dari luar, akan
tetapi lebih banyak datangnya dari kalangan sendiri, terutama dari
tokoh-tokoh agama Islam sendiri yang takut akan kehilangan pangkat,
kedudukan, pengaruh dan jamaahnya. Namun, oleh karena perlawanan sudah
juga digencarkan muslimin sendiri, maka orang-orang di luar Islam pula,
terutama kaum orientalis mendapat angin segar untuk turut campur-tangan
membesarkan perselisihan diantara umat Islam sehingga terjadi saling
membid’ahkan dan bahkan saling mengkafirkan.
Masa-masa tersebut telah pun berlalu. Umat Islam kini
sudah sedar tentang apa dan siapa kaum pengikut dakwah Rasulullah yang
diteruskan Muhammad bin Abdul Wahhab (dijuluki Wahabi). Dan satu persatu
kejahatan dan kebusukan kaum orientalis yang sengaja mengadu domba
antara sesama umat Islam semenjak awal, begitu juga dari kaum penjajah
Barat, semuanya kini sudah terungkap.
Meskipun usaha musuh-musuh dakwahnya begitu hebat,
sama ada dari kalangan dalam Islam sendiri, mahupun dari kalangan
luarnya, yang dilancarkan melalui pena atau ucapan, yang ditujukan untuk
membendung dakwah tauhid ini, namun usaha mereka sia-sia belaka, karena
ternyata Allah SWT telah memenangkan perjuangan dakwah tauhid yang
dipelopori oleh Syeikh Islam, Imam Muhammad bin `Abdul Wahab yang telah
mendapat sambutan bukan hanya oleh penduduk negeri Najd saja, akan
tetapi juga sudah menggema ke seluruh dunia Islam dari Maghribi sampai
ke Merauke, malah kini sudah berkumandang pula ke seluruh jagat raya.
Dalam hal ini, jasa-jasa Putera Muhammad bin Saud
(pendiri kerajaan Arab Saudi) dengan semua anak cucunya tidaklah boleh
dilupakan begitu saja, di mana dari masa ke masa mereka telah membantu
perjuangan tauhid ini dengan harta dan jiwa.
Siapakah Salafiyah Itu?
Sebagaimana yang telah disebutkan, bahwa Salafiyyah
itu adalah suatu pergerakan pembaharuan di bidang agama, khususnya di
bidang ketauhidan. Tujuannya ialah untuk memurnikan kembali ketauhidan
yang telah tercemar oleh pelbagai macam bid’ah dan khurafat yang membawa
kepada kemusyrikan.
Untuk mencapai tujuan tersebut, Syeikh Muhammad bin
`Abdul Wahab telah menempuh pelbagai macam cara. Kadangkala lembut dan
kadangkala kasar, sesuai dengan sifat orang yang dihadapinya. Beliau
mendapat pertentangan dan perlawanan dari kelompok yang tidak
menyenanginya karena sikapnya yang tegas dan tanpa kompromi, sehingga
lawan-lawannya membuat tuduhan-tuduhan ataupun pelbagai fitnah terhadap
dirinya dan pengikut-pengikutnya.
Musuh-musuhnya pernah menuduh bahwa Syeikh Muhammad
bin `Abdul Wahab telah melarang para pengikutnya membaca kitab fiqh,
tafsir dan hadith. Malahan ada yang lebih keji, yaitu menuduh Syeikh
Muhammad telah membakar beberapa kitab tersebut, serta menafsirkan
al-Qur’an menurut kehendak hawa nafsu sendiri.
Apa yang dituduh dan difitnah terhadap Syeikh Ibnu
`Abdul Wahab itu, telah dijawab dengan tegas oleh seorang pengarang
terkenal, yaitu al-Allamah Syeikh Muhammad Basyir as-Sahsawani, dalam
bukunya yang berjudul Shiyanah al-Insan di halaman 473 seperti berikut:
“Sebenarnya tuduhan tersebut telah dijawab sendiri
oleh Syeikh Ibnu `Abdul Wahab sendiri dalam suatu risalah yang
ditulisnya dan dialamatkan kepada `Abdullah bin Suhaim dalam pelbagai
masalah yang diperselisihkan itu. Diantaranya beliau menulis bahwa semua
itu adalah bohong dan kata-kata dusta belaka, seperti dia dituduh
membatalkan kitab-kitab mazhab, dan dia mendakwakan dirinya sebagai
mujtahid, bukan muqallid.”
Kemudian dalam sebuah risalah yang dikirimnya kepada
`Abdurrahman bin `Abdullah, Muhammad bin `Abdul Wahab berkata: “Aqidah
dan agama yang aku anut, ialah mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah, sebagai
tuntunan yang dipegang oleh para Imam Muslimin, seperti Imam-imam Mazhab
empat dan pengikut-pengikutnya sampai hari kiamat. Aku hanyalah suka
menjelaskan kepada orang-orang tentang pemurnian agama dan aku larang
mereka berdoa (mohon syafaat) pada orang yang hidup atau orang mati
daripada orang-orang soleh dan lainnya.”
`Abdullah bin Muhammad bin `Abdul Wahab, menulis
dalam risalahnya sebagai ringkasan dari beberapa hasil karya ayahnya,
Syeikh Ibnu `Abdul Wahab, seperti berikut: “Bahwa mazhab kami dalam
Ushuluddin (Tauhid) adalah mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah, dan cara
(sistem) pemahaman kami adalah mengikuti cara Ulama Salaf. Sedangkan
dalam hal masalah furu’ (fiqh) kami cenderung mengikuti mazhab Ahmad bin
Hanbal rahimahullah. Kami tidak pernah mengingkari (melarang) seseorang
bermazhab dengan salah satu daripada mazhab yang empat. Dan kami tidak
mempersetujui seseorang bermazhab kepada mazhab yang luar dari mazhab
empat, seprti mazhab Rafidhah, Zaidiyah, Imamiyah dan lain-lain lagi.
Kami tidak membenarkan mereka mengikuti mazhab-mazhab yang batil. Malah
kami memaksa mereka supaya bertaqlid (ikut) kepada salah satu dari
mazhab empat tersebut. Kami tidak pernah sama sekali mengaku bahwa kami
sudah sampai ke tingkat mujtahid mutlaq, juga tidak seorang pun di
antara para pengikut kami yang berani mendakwakan dirinya dengan
demikian. Hanya ada beberapa masalah yang kalau kami lihat di sana ada
nash yang jelas, baik dari Qur’an mahupun Sunnah, dan setelah kami
periksa dengan teliti tidak ada yang menasakhkan- nya, atau yang
mentaskhsiskannya atau yang menentangnya, lebih kuat daripadanya, serta
dipegangi pula oleh salah seorang Imam empat, maka kami mengambilnya dan
kami meninggalkan mazhab yang kami anut, seperti dalam masalah warisan
yang menyangkut dengan kakek dan saudara lelaki; Dalam hal ini kami
berpendirian mendahulukan kakek, meskipun menyalahi mazhab kami
(Hambali).”
Demikianlah bunyi isi tulisan kitab Shiyanah
al-Insan, hal. 474. Seterusnya beliau berkata: “Adapun yang mereka
fitnah kepada kami, sudah tentu dengan maksud untuk menutup-nutupi dan
menghalang-halangi yang hak, dan mereka membohongi orang banyak dengan
berkata: `Bahwa kami suka mentafsirkan Qur’an dengan selera kami, tanpa
mengindahkan kitab-kitab tafsirnya. Dan kami tidak percaya kepada ulama,
menghina Nabi kita Muhammad SAW’ dan dengan perkataan `bahwa jasad Nabi
SAW itu buruk di dalam kuburnya. Dan bahwa tongkat kami ini lebih
bermanfaat daripada Nabi, dan Nabi itu tidak mempunyai syafaat.
Dan ziarah kepada kubur Nabi itu tidak sunat, Nabi
tidak mengerti makna “La ilaha illallah” sehingga perlu diturunkan
kepadanya ayat yang berbunyi: “Fa’lam annahu La ilaha illallah,” dan
ayat ini diturunkan di Madinah. Dituduhnya kami lagi, bahwa kami tidak
percaya kepada pendapat para ulama. Kami telah menghancurkan kitab-kitab
karangan para ulama mazhab, karena didalamnya bercampur antara yang hak
dan batil. Malah kami dianggap mujassimah (menjasmanikan Allah), serta
kami mengkufurkan orang-orang yang hidup sesudah abad keenam, kecuali
yang mengikuti kami. Selain itu kami juga dituduh tidak mahu menerima
bai’ah seseorang sehingga kami menetapkan atasnya `bahwa dia itu bukan
musyrik begitu juga ibu-bapaknya juga bukan musyrik.’
Dikatakan lagi bahwa kami telah melarang manusia
membaca selawat ke atas Nabi SAW dan mengharamkan berziarah ke
kubur-kubur. Kemudian dikatakannya pula, jika seseorang yang mengikuti
ajaran agama sesuai dengan kami, maka orang itu akan diberikan
kelonggaran dan kebebasan dari segala beban dan tanggungan atau hutang
sekalipun.
Kami dituduh tidak mahu mengakui kebenaran para ahlul
Bait r.a. Dan kami memaksa menikahkan seseorang yang tidak kufu serta
memaksa seseorang yang tua umurnya dan ia mempunyai isteri yang muda
untuk diceraikannya, karena akan dinikahkan dengan pemuda lainnya untuk
mengangkat derajat golongan kami.
Maka semua tuduhan yang diada-adakan dalam hal ini
sungguh kami tidak mengerti apa yang harus kami katakan sebagai jawapan,
kecuali yang dapat kami katakan hanya “Subhanaka – Maha suci Engkau ya
Allah” ini adalah kebohongan yang besar. Oleh karena itu, maka
barangsiapa menuduh kami dengan hal-hal yang tersebut di atas tadi,
mereka telah melakukan kebohongan yang amat besar terhadap kami.
Barangsiapa mengaku dan menyaksikan bahwa apa yang dituduhkan tadi
adalah perbuatan kami, maka ketahuilah: bahwa kesemuanya itu adalah
suatu penghinaan terhadap kami, yang dicipta oleh musuh-musuh agama
ataupun teman-teman syaithan dari menjauhkan manusia untuk mengikuti
ajaran sebersih-bersih tauhid kepada Allah dan keikhlasan beribadah
kepadaNya.
Kami beri’tiqad bahwa seseorang yang mengerjakan dosa
besar, seperti melakukan pembunuhan terhadap seseorang Muslim tanpa
alasan yang wajar, begitu juga seperti berzina, riba’ dan minum arak,
meskipun berulang-ulang, maka orang itu hukumnya tidaklah keluar dari
Islam (murtad), dan tidak kekal dalam neraka, apabila ia tetap bertauhid
kepada Allah dalam semua ibadahnya.” (Shiyanah al-Insan)
Khusus tentang Nabi Muhammad SAW, Syeikh Muhammad bin
`Abdul Wahab berkata: “Dan apapun yang kami yakini terhadap martabat
Muhammad SAW bahwa martabat beliau itu adalah setinggi-tinggi martabat
makhluk secara mutlak. Dan Beliau itu hidup di dalam kuburnya dalam
keadaan yang lebih daripada kehidupan para syuhada yang telah digariskan
dalam Al-Qur’an. Karena Beliau itu lebih utama dari mereka, dengan
tidak diragukan lagi. Bahwa Rasulullah SAW mendengar salam orang yang
mengucapkan kepadanya. Dan adalah sunnah berziarah kepada kuburnya,
kecuali jika semata-mata dari jauh hanya datang untuk berziarah ke
maqamnya. Namun Sunat juga berziarah ke masjid Nabi dan melakukan solat
di dalamnya, kemudian berziarah ke maqamnya. Dan barangsiapa yang
menggunakan waktunya yang berharga untuk membaca selawat ke atas Nabi,
selawat yang datang daripada beliau sendiri, maka ia akan mendapat
kebahagiaan di dunia dan akhirat.”
Tantangan Dakwah Salafiyyah
Sebagaimana lazimnya, seorang pemimpin besar dalam
suatu gerakan perubahan , maka Syeikh Muhammad bin `Abdul Wahab pun
tidak lepas dari sasaran permusuhan dari pihak-pihak tertentu, baik dari
dalam maupun dari luar Islam, terutama setelah Syeikh menyebarkah
dakwahnya dengan tegas melalui tulisan-tulisannya, berupa buku-buku
mahupun surat-surat yang tidak terkira banyaknya. Surat-surat itu
dikirim ke segenap penjuru negeri Arab dan juga negeri-negeri Ajam
(bukan Arab).
Surat-suratnya itu dibalas oleh pihak yang
menerimanya, sehingga menjadi beratus-ratus banyaknya. Mungkin kalau
dibukukan niscaya akan menjadi puluhan jilid tebalnya.
Sebagian dari surat-surat ini sudah dihimpun, diedit
serta diberi ta’liq dan sudah diterbitkan, sebagian lainnya sedang dalam
proses penyusunan. Ini tidak termasuk buku-buku yang sangat berharga
yang sempat ditulis sendiri oleh Syeikh di celah-celah kesibukannya yang
luarbiasa itu. Adapun buku-buku yang sempat ditulisnya itu berupa
buku-buku pegangan dan rujukan kurikulum yang dipakai di
madrasah-madrasah ketika beliau memimpin gerakan tauhidnya.
Tentangan maupun permusuhan yang menghalang dakwahnya, muncul dalam dua bentuk:
1. Permusuhan atau tentangan atas nama ilmiyah dan agama,
2. Atas nama politik yang berselubung agama.
Bagi yang terakhir, mereka memperalatkan golongan
ulama tertentu, demi mendukung kumpulan mereka untuk memusuhi dakwah
Wahabiyah.
Mereka menuduh dan memfitnah Syeikh sebagai orang
yang sesat lagi menyesatkan, sebagai kaum Khawarij, sebagai orang yang
ingkar terhadap ijma’ ulama dan pelbagai macam tuduhan buruk lainnya.
Namun Syeikh menghadapi semuanya itu dengan semangat
tinggi, dengan tenang, sabar dan beliau tetap melancarkan dakwah bil
lisan dan bil hal, tanpa mempedulikan celaan orang yang mencelanya.
Pada hakikatnya ada tiga golongan musuh-musuh dakwah beliau:
1. Golongan ulama khurafat,
yang mana mereka melihat yang haq (benar) itu batil dan yang batil itu
haq. Mereka menganggap bahwa mendirikan bangunan di atas kuburan lalu
dijadikan sebagai masjid untuk bersembahyang dan berdoa di sana dan
mempersekutu- kan Allah dengan penghuni kubur, meminta bantuan dan
meminta syafaat padanya, semua itu adalah agama dan ibadah. Dan jika ada
orang-orang yang melarang mereka dari perbuatan jahiliyah yang telah
menjadi adat tradisi nenek moyangnya, mereka menganggap bahwa orang itu
membenci auliya’ dan orang-orang soleh, yang bererti musuh mereka yang
harus segera diperangi.
2. Golongan ulama taashub,
yang mana mereka tidak banyak tahu tentang hakikat Syeikh Muhammad bin
`Abdul Wahab dan hakikat ajarannya. Mereka hanya taqlid belaka dan
percaya saja terhadap berita-berita negatif mengenai Syeikh yang
disampai- kan oleh kumpulan pertama di atas sehingga mereka terjebak
dalam perangkap Ashabiyah (kebanggaan dengan golongannya) yang sempit
tanpa mendapat kesempatan untuk melepaskan diri dari belitan
ketaashubannya. Lalu menganggap Syeikh dan para pengikutnya seperti yang
diberitakan, yaitu; anti Auliya’ dan memusuhi orang-orang shaleh serta
mengingkari karamah mereka. Mereka mencaci-maki Syeikh habis-habisan dan
beliau dituduh sebagai murtad.
3. Golongan yang takut kehilangan pangkat dan jawatan, pengaruh dan kedudukan.
Maka golongan ini memusuhi beliau supaya dakwah Islamiyah yang
dilancarkan oleh Syeikh yang berpandukan kepada aqidah Salafiyah murni
gagal karena ditelan oleh suasana hingar-bingarnya penentang beliau.
Demikianlah tiga jenis musuh yang lahir di
tengah-tengah nyalanya api gerakan yang digerakkan oleh Syeikh dari Najd
ini, yang mana akhirnya terjadilah perang perdebatan dan polemik yang
berkepanjangan di antara Syeikh di satu pihak dan lawannya di pihak yang
lain. Syeikh menulis surat-surat dakwahnya kepada mereka, dan mereka
menjawabnya. Demikianlah seterusnya.
Perang pena yang terus menerus berlangsung itu, bukan
hanya terjadi di masa hayat Syeikh sendiri, akan tetapi berterusan
sampai kepada anak cucunya. Di mana anak cucunya ini juga ditakdirkan
Allah menjadi ulama.
Merekalah yang meneruskan perjuangan al-maghfurlah
Syeikh Muhammad bin `Abdul Wahab, yang dibantu oleh para muridnya dan
pendukung-pendukung ajarannya. Demikianlah perjuangan Syeikh yang
berawal dengan lisan, lalu dengan pena dan seterusnya dengan senjata,
telah didukung sepenuhnya oleh Amir Muhammad bin Saud, penguasa
Dar’iyah.
Beliau pertama kali yang mengumandangkan jihadnya
dengan pedang pada tahun 1158 H. Sebagaimana kita ketahui bahwa seorang
da’i ilallah, apabila tidak didukung oleh kekuatan yang mantap, pasti
dakwahnya akan surut, meskipun pada tahap pertama mengalami kemajuan.
Namun pada akhirnya orang akan jemu dan secara beransur-ansur dakwah itu
akan ditinggalkan oleh para pendukungnya.
Oleh karena itu, maka kekuatan yang paling ampuh
untuk mempertahankan dakwah dan pendukungnya, tidak lain harus didukung
oleh senjata. Karena masyarakat yang dijadikan sebagai objek daripada
dakwah kadangkala tidak mampan dengan lisan mahupun tulisan, akan tetapi
mereka harus diiring dengan senjata, maka waktu itulah perlunya
memainkan peranan senjata.
Alangkah benarnya firman Allah SWT: “Sesungguhnya
Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami, dengan membawa bukti-bukti yang
nyata dan telah Kami turunkan bersama mereka Al-Kitab dan Mizan/neraca
(keadilan) supaya manusia dapat melaksanakan keadilan. Dan Kami ciptakan
besi yang padanya terdapat kekuatan yang hebat dan pelbagai manfaat
bagi umat manusia, dan supaya Allah mengetahui siapa yang menolong
(agama)Nya dan RasulNya padahal Allah tidak dilihatnya. Sesungguhnya
Allah Maha Kuat dan Maha Perkasa.” (al-Hadid:25)
Ayat di atas menerangkan bahwa Allah SWT mengutus
para RasulNya dengan disertai bukti-bukti yang nyata untuk menumpaskan
kebatilan dan menegakkan kebenaran. Di samping itu pula, mereka
dibekalkan dengan Kitab yang di dalamnya terdapat pelbagai macam hukum
dan undang-undang, keterangan dan penjelasan. Juga Allah menciptakan
neraca (mizan) keadilan, baik dan buruk serta haq dan batil, demi
tertegaknya kebenaran dan keadilan di tengah-tengah umat manusia.
Namun semua itu tidak mungkin berjalan dengan lancar
dan stabil tanpa ditunjang oleh kekuatan besi (senjata) yang menurut
keterangan al-Qur’an al-Hadid fihi basun syadid yaitu, besi baja yang
mempunyai kekuatan dahsyat. yaitu berupa senjata tajam, senjata api,
peluru, senapan, meriam, kapal perang, nuklir dan lain-lain lagi, yang
pembuatannya mesti menggunakan unsur besi.
Sungguh besi itu amat besar manfaatnya bagi
kepentingan umat manusia yang mana al-Qur’an menyatakan dengan Wama
nafiu linasi yaitu dan banyak manfaatnya bagi umat manusia. Apatah lagi
jika dipergunakan bagi kepentingan dakwah dan menegakkan keadilan dan
kebenaran seperti yang telah dimanfaatkan oleh Syeikh Muhammad bin
`Abdul Wahab semasa gerakan tauhidnya tiga abad yang lalu.
Orang yang mempunyai akal yang sehat dan fikiran yang
bersih akan mudah menerima ajaran-ajaran agama, sama ada yang dibawa
oleh Nabi, mahupun oleh para ulama. Akan tetapi bagi orang zalim dan
suka melakukan kejahatan, yang diperhambakan oleh hawa nafsunya, mereka
tidak akan tunduk dan tidak akan mau menerimanya, melainkan jika mereka
diiring dengan senjata.
Demikianlah Syeikh Muhammad bin `Abdul Wahab dalam
dakwah dan jihadnya telah memanfaatkan lisan, pena serta pedangnya
seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sendiri, di waktu baginda
mengajak kaum Quraisy kepada agama Islam pada waktu dahulu. Yang
demikian itu telah dilakukan terus menerus oleh Syeikh Muhammad selama
lebih kurang 48 tahun tanpa berhenti, yaitu dari tahun 1158 hinggalah
akhir hayatnya pada tahun 1206 H.
Adalah suatu kebahagiaan yang tidak terucapkan bagi
beliau, yang mana beliau dapat menyaksikan sendiri akan kejayaan
dakwahnya di tanah Najd dan daerah sekelilingnya, sehingga masyarakat
Islam pada ketika itu telah kembali kepada ajaran agama yang
sebenar-benarnya, sesuai dengan tuntunan Kitab Allah dan Sunnah
RasulNya.
Dengan demikian, maka maqam-maqam yang didirikan
dengan kubah yang lebih mewah dari kubah masjid-masjid, sudah tidak
kelihatan lagi di seluruh negeri Najd, dan orang ramai mula
berduyun-duyun pergi memenuhi masjid untuk bersembahyang dan mempelajari
ilmu agama. Amar ma’ruf ditegakkan, keamanan dan ketenteraman
masyarakat menjadi stabil dan merata di kota mahupun di desa. Syeikh
kemudian mengirim guru-guru agama dan mursyid-mursyid ke seluruh pelusuk
desa untuk mengajarkan ilmu-ilmu agama kepada masyarakat setempat
terutama yang berhubungan dengan aqidah dan syari’ah.
Setelah beliau meninggal dunia, perjuangan tersebut
diteruskan pula oleh anak-anak dan cucu-cucunya, begitu juga oleh
murid-murid dan pendukung-pendukung dakwahnya. Yang dipelopori oleh
anak-anak Syeikh sendiri, seperti Syeikh Imam `Abdullah bin Muhammad,
Syeikh Husin bin Muhammad, Syeikh Ibrahim bin Muhammad, Syeikh Ali bin
Muhammad. Dan dari cucu-cucunya antara lain ialah Syeikh `Abdurrahman
bin Hasan, Syeikh Ali bin Husin, Syeikh Sulaiman bin `Abdullah bin
Muhammad dan lain-lain. Dari kalangan murid-murid beliau yang paling
menonjol ialah Syeikh Hamad bin Nasir bin Mu’ammar dan ramai lagi jamaah
lainnya dari para ulama Dar’iyah.
Masjid-masjid telah penuh dengan penuntut-penuntut
ilmu yang belajar tentang pelbagai macam ilmu Islam, terutama tafsir,
hadith, tarikh Islam, ilmu qawa’id dan lain-lain lagi. Meskipun
kecenderungan dan minat mansyarakat demikian tinggi untuk menuntut ilmu
agama, namun mereka pun tidak ketinggalan dalam hal ilmu-ilmu keduniaan
seperti ilmu ekonomi, pertanian, perdagangan, pertukangan dan lain-lain
lagi yang mana semuanya itu diajarkan di masjid dan dipraktikkan dalam
kehidupan mereka sehari-hari.
Setelah kejayaan Syeikh Muhammad bersama keluarga
Amir Ibnu Saud menguasai daerah Najd, maka sasaran dakwahnya kini
ditujukan ke negeri Mekah dan negeri Madinah (Haramain) dan daerah
Selatan Jazirah Arab. Mula-mula Syeikh menawarkan kepada mereka
dakwahnya melalui surat menyurat terhadap para ulamanya, namun mereka
tidak mau menerimanya.
Mereka tetap bertahan pada ajaran-ajaran nenek moyang
yang mengkeramatkan kuburan dan mendirikan masjid di atasnya, lalu
berduyun-duyun datang ke tempat itu meminta syafaat, meminta berkat, dan
meminta agar dikabulkan hajat pada ahli kubur atau dengan
mempersekutukan si penghuni kubur itu dengan Allah SWT.
Sebelas tahun setelah meninggalnya kedua tokoh
mujahid ini, yaitu Syeikh dan Amir Ibnu Saud, kemudian tampillah Imam
Saud bin `Abdul `Aziz untuk meneruskan perjuangan pendahulunya. Imam
Saud adalah cucu kepada Amir Muhammad bin Saud, rekan seperjuangan
Syeikh semasa beliau masih hidup.
Berangkatlah Imam Saud bin `Abdul `Aziz menuju tanah
Haram Mekah dan Madinah (Haramain) yang dikenal juga dengan nama tanah
Hijaz.
Mula-mula beliau bersama pasukannya berjaya menduduki
Tha’if. Penaklukan Tha’if tidak begitu banyak mengalami kesukaran
karena sebelumnya Imam Saud bin `Abdul `Aziz telah mengirimkan Amir
Uthman bin `Abdurrahman al-Mudhayifi dengan membawa pasukannya dalam
jumlah yang besar untuk mengepung Tha’if. Pasukan ini terdiri dari
orang-orang Najd dan daerah sekitarnya. Oleh karena itu Ibnu `Abdul
`Aziz tidak mengalami banyak kerugian dalam penaklukan negeri Tha’if,
sehingga dalam waktu singkat negeri Tha’if menyerah dan jatuh ke tangan
Salafy (pengikut Syaikh Muhammad).
Di Tha’if, pasukan muwahidin membongkar beberapa
maqam yang di atasnya didirikan masjid, di antara maqam yang dibongkar
adalah maqam Ibnu Abbas r.a. Masyarakat setempat menjadikan maqam ini
sebagai tempat ibadah, dan meminta syafaat serta berkat daripadanya.
Dari Tha’if pasukan Imam Saud bergerak menuju Hijaz
dan mengepung kota Mekah. Manakala Gubernur Mekah mengetahui sebab
pengepungan tersebut (waktu itu Mekah di bawah pimpinan Syarif Husin),
maka hanya ada dua pilihan baginya, menyerah kepada pasukan Imam Saud
atau melarikan diri ke negeri lain. Ia memilih pilihan kedua, yaitu
melarikan diri ke Jeddah. Kemudian, pasukan Saud segera masuk ke kota
Mekah untuk kemudian menguasainya tanpa perlawanan sedikit pun.
Tepat pada waktu fajar, Muharram 1218 H, kota suci
Mekah sudah berada di bawah kekuasaan muwahidin sepenuhnya. Seperti
biasa, pasukan muwahidin sentiasa mengutamakan sasarannya untuk
menghancurkan patung-patung yang dibuat dalam bentuk kubah di perkuburan
yang dianggap keramat, yang semuanya itu boleh mengundang kemusyrikan
bagi kaum Muslimin.Maka semua lambang-lambang kemusyrikan yang didirikan
di atas kuburan yang berbentuk kubah-kubah masjid di seluruh Hijaz,
semuanya diratakan, termasuk kubah yang didirikan di atas kubur Khadijah
r.a, isteri pertama Nabi kita Muhammad SAW.
Bersamaan dengan itu mereka melantik sejumlah guru,
da’i, mursyid serta hakim untuk ditugaskan di daerah Hijaz. Selang dua
tahun setelah penaklukan Mekah, pasukan Imam Saud bergerak menuju
Madinah. Seperti halnya di Mekah, Madinah pun dalam waktu yang singkat
saja telah dapat dikuasai sepenuhnya oleh pasukan Muwahhidin di bawah
panglima Putera Saud bin Abdul Aziz, peristiwa ini berlaku pada tahun
1220 H.
Dengan demikian, daerah Haramain (Mekah – Madinah)
telah jatuh ke tangan muwahidin. Dan sejak itulah status sosial dan
ekonomi masyarakat Hijaz secara berangsur-angsur dapat dipulihkan
kembali, sehingga semua lapisan masyarakat merasa aman, tenteram dan
tertib, yang selama ini sangat mereka inginkan.
Walaupun sebagai sebuah daerah yang ditaklukan,
keluarga Saud tidaklah memperlaku- kan rakyat dengan sesuka hati.
Keluarga Saud sangat baik terhadap rakyat terutama pada kalangan fakir
miskin yang mana pihak kerajaan memberi perhatian yang berat terhadap
nasib mereka. Dan tetaplah kawasan Hijaz berada di bawah kekuasaan
muwahidin (Saudi) yang dipimpin oleh keluarga Saud sehingga pada tahun
1226 H.
Setelah delapan tahun wilayah ini berada di bawah
kekuasaan Imam Saud, pemerintah Mesir bersama sekutunya Turki,
mengirimkan pasukannya untuk membebaskan tanah Hijaz, terutama Mekah dan
Madinah dari tangan muwahidin sekaligus hendak mengusir mereka keluar
dari daerah tersebut.
Adapun sebab campurtangan pemerintah Mesir dan Turki
itu adalah seperti yang telah dikemukakan pada bahagian yang lalu, yaitu
karena pergerakan muwahidin mendapat banyak tantangan dari pihak
musuh-musuhnya, bahkan musuh dari pihak dalam Islam sendiri apalagi dari
luar Islam, yang bertujuan sama yaitu untuk mematikan dan memadamkan
api gerakan dakwah Salafiyyah Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab.
Oleh karena musuh-musuh gerakan Salafiyyah tidak
mempunyai kekuatan yang memadai untuk menentang pergerakan Wahabiyah,
maka mereka menghasut pemerintah Mesir dan Turki dengan menggunakan nama
agama, seperti yang telah diterangkan pada kisah yang lalu. Akhirnya
pasukan Mesir dan Turki menyerbu ke negeri Hijaz untuk membebaskan kedua
kota suci Mekah dan Madinah dari cengkaman kaum muwahiddin, sehingga
terjadilah peperangan di antara Mesir bersama sekutunya Turki di satu
pihak melawan pasukan muwahidin dari Najd dan Hijaz di pihak lain.
Peperangan ini telah berlangsung selama tujuh tahun, yaitu dari tahun
1226 hingga 1234 H.
Dalam masa perang tujuh tahun itu tidak sedikit
kerugian yang dialami oleh kedua belah pihak, terutama dari pihak
pasukan Najd dan Hijaz, selain kerugian harta benda, tidak sedikit pula
kerugian nyawa dan korban manusia. Tetapi syukur alhamdulillah, setelah
lima tahun berlangsung perang saudara di antara Mesir-Turki dan Wahabi,
pihak Mesir maupun Turki sudah mulai jemu dan bosan menghadapi
peperangan yang berkepanjang- an itu. Akhirnya, secara perlahan-lahan
mereka sedar bahwa mereka telah keliru, sekaligus mereka menyadari bahwa
sesungguhnya gerakan Wahabi tidak lain adalah sebuah gerakan Aqidah
murni dan patut ditunjang serta didukung oleh seluruh umat Islam.
Dalam dua tahun terakhir menjelang selesainya
peperangan, secara diam-diam gerakan muwahidin terus melakukan gerakan
dakwah dan mencetak kader-kadernya demi penerusan gerakan aqidah di
masa-masa akan datang. Berakhirnya peperangan yang telah memakan waktu
tujuh tahun tersebut, membikin dakwah Salafiyyah mulai lancar kembali
seperti biasa.
Semua kekacauan di tanah Hijaz boleh dikatakan
berakhir pada tahun 1239 H. Begitu juga dakwah Salafiyyah telah tersebar
secara meluas dan merata ke seluruh pelusuk Najd dan sekitarnya, di
bawah kepemimpinan Imam Turki bin `Abdullah bin Muhammad bin Saud, adik
sepupu Amir Saud bin `Abdul `Aziz yang disebutkan dahulu.
Semenjak kekuasaan dipegang oleh Amir Turki bin
`Abdullah, suasana Najd dan sekitar- nya berangsur-angsur pulih kembali,
sehingga memungkinkan bagi keluarga Saud (al-Saud) bersama keluarga
Syeikh Muhammad (al-Syeikh) untuk melancarkan kembali dakwah mereka
dengan lisan dan tulisan melalui juru-juru dakwah, para ulama serta para
Khutaba.
Suasana yang sebelumnya penuh dengan huru-hara dan
saling berperang, kini telah berubah menjadi suasana yang penuh aman dan
damai menyebabkan syiar Islam kelihatan di mana-mana di seluruh tanah
Hijaz, Najd dan sekitarnya. Sedangkan syi’ar kemusyrikan sudah hancur
diratakan dengan tanah. Ibadah hanya kepada Allah, tidak lagi ke
perkuburan dan makhluk-makhluk lainnya. Masjid mulai kelihatan semarak
dan lebih banyak dikunjungi oleh umat Islam, dibanding ke maqam-maqam
yang dianggap keramat seperti sebelumnya.
Khususnya daerah Hijaz dengan kota Mekah dan Madinah,
begitu lama terputus hubungan dengan Kerajaan (daulah) Saudiyah, yaitu
semenjak perlanggaran Mesir dan sekutunya pada tahun 1226 -1342, yang
bererti lebih kurang seratus duapuluh tujuh tahun wilayah Hijaz terlepas
dari tangan dinasti Saudiyah. Dan barulah kembali ke tangan mereka pada
tahun 1343 H, yaitu di saat daulah Saudiyah dipimpin oleh Imam `Abdul
`Aziz bin `Abdurrahman bin Faisal bin Turki bin `Abdullah bin Muhammad
bin Saud, cucu keempat dari pendiri dinasti Saudiyah, Amir Muhammad bin
Saud al-Awal.
Menurut sejarah, setelah Mekah – Madinah kembali ke
pangkuan Arab Saudi pada tahun 1343, hubungan Saudi – Mesir tetap tidak
begitu baik yang mana tidak ada hubungan diplomatik di antara kedua
negara tersebut, meskipun kedua bangsa itu tetap terjalin ukhuwah
Islamiyah. Namun setelah Raja Faisal menaiki tahta menjadi ketua negara
Saudi, hubungan Saudi – Mesir disambung kembali hingga kini.
Wafatnya
Muhammad bin `Abdul Wahab telah menghabiskan waktunya
selama 48 tahun lebih di Dar’iyah. Keseluruhan hidupnya diisi dengan
kegiatan menulis, mengajar, berdakwah dan berjihad serta mengabdi
sebagai menteri penerangan Kerajaan Saudi di Tanah Arab.
Dan Allah telah memanjangkan umurnya sampai 92 tahun,
sehingga beliau dapat menyaksikan sendiri kejayaan dakwah dan kesetiaan
pendukung-pendukungnya. Semuanya itu adalah berkat pertolongan Allah
dan berkat dakwah dan jihadnya yang gigih dan tidak kenal menyerah waktu
itu.
Kemudian, setelah puas melihat hasil kemenangannya di
seluruh negeri Dar’iyah dan sekitarnya, dengan hati yang tenang,
perasaan yang lega, Muhammad bin `Abdul Wahab menghadap Tuhannya. Beliau
kembali ke Rahmatullah pada tanggal 29 Syawal 1206 H, bersamaan dengan
tahun 1793 M, dalam usia 92 tahun. Jenazahnya dikebumikan di Dar’iyah
(Najd). Semoga Allah melapangkan kuburnya, dan menerima segala amal
solehnya serta mendapatkan tempat yang layak di sisi Allah SWT. Amin.